Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Sebagai agensi peneraju Kerjasama Awam-Swasta (PPP) negara, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS) terus komited memacu pembangunan Malaysia melalui pendekatan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. Sejak 2009, lebih 400 projek PPP bernilai melebihi RM400 bilion telah berjaya dilaksanakan, menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
Dengan perubahan landskap ekonomi global yang dinamik serta cabaran semasa, UKAS sentiasa bersedia meneroka pendekatan baharu dan kreatif dalam menjana pembangunan negara. Pendekatan alternatif ini membolehkan sektor awam dan swasta berganding bahu bagi mempercepat penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
UKAS juga sentiasa mengutamakan pemikiran strategik, inovatif dan berintegriti dalam setiap pelaksanaan projek, seiring dengan matlamat Malaysia Madani untuk mencapai kesejahteraan hidup rakyat yang inklusif dan mampan. Kepatuhan kepada dasar, pekeliling dan peraturan semasa juga kekal menjadi teras utama bagi memastikan setiap projek PPP memberi manfaat optimum kepada negara.
Selaras dengan strategi pembangunan sosioekonomi yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025), PPP akan terus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, bagi memastikan Malaysia terus utuh sebagai negara yang berdaya saing dalam semua sektor ekonomi, UKAS sentiasa komited dalam merancang, menilai, menyelaras dan merunding projek-projek kerjasama awam swasta yang memberi manfaat kepada negara demi kesejahteraan rakyat.
Justeru, saya berharap portal ini akan memudahkan semua pihak untuk mendapat maklumat mengenai PPP dan menjadi sumber rujukan yang berguna dalam usaha UKAS untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada semua.
“KERJASAMA AWAM SWASTA MEMACU KEMAKMURAN NEGARA”
Salam hormat,
DATUK MUHAMMAD RAZMAN BIN ABU SAMAH
Ketua Pengarah
Unit Kerjasama Awam Swasta
Jabatan Perdana Menteri
