soalan lazim hubungi kami sistem maklumbalas peta laman
logo Ukas

Kategori

🏢 Kategori Maklumat UKAS Soalan Lazim

1.
Apakah itu Dasar Penswastaan?
 

Dasar Penswastaan telah dilancarkan pada tahun 1983 sebagai usaha ke arah meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara. Objektif utama dasar ini adalah untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kecekapan dan produktiviti, mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan penglibatan sektor awam dalam ekonomi serta ke arah pencapaian matlamat penyusunan semula masyarakat dengan menggalakkan penglibatan masyarakat Bumiputera dalam sektor perindustrian dan perdagangan.

   
2.
Apakah syarat umum yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan projek PPP?
 

MODEL KERJASAMA AWAM SWASTA

PENSWASTAAN

PFI

KOS PROJEK

25 juta

100 juta

TEMPOH KONSESI

Sekurang-kurangnya 7 tahun

Bergantung kepada model perniagaan, kebiasaannya di antara 15 – 25 tahun

MODAL BERBAYAR (Semasa Permohonan projek dikemukakan)

RM275,000.00

RM275,000.00

   
3.
Apakah kriteria kelayakan syarikat dan peneraju untuk melaksanakan projek PPP?
 
  1. peneraju utama SPV bagi projek PPP perlu mempunyai kedudukan kewangan yang mantap serta mempunyai sumber kepakaran pengurusan dan teknikal yang berkaitan;
  2. Syarikat SPV perlu membuktikan ia mempunyai keupayaan bukan sahaja untuk membina aset dan mengurus risiko tetapi juga menyelenggara aset tersebut; dan
  3. Syarikat SPV perlu mempamerkan tahap inovasi yang sesuai yang dapat menyumbang kepada kualiti perkhidmatan yang disediakan serta memberi nilai ekonomik kepada pembeli perkhidmatan.
   
4.
Apakah kaedah-kaedah yang terdapat dalam melaksanakan projek kerjasama awam swasta (PPP)?
 
  • Penjualan Ekuiti
   
Penjualan ekuiti adalah khusus bagi syarikat Kerajaan dan melibatkan pemindahan hakmilik serta tanggungjawab pengurusan, aset (beserta atau tanpa tanggungan) dan kakitangan.Bentuk penswastaan ini boleh melibatkan penjualan sebahagian atau keseluruhan ekuiti sesuatu syarikat.Penjualan ekuiti keseluruhan bermakna pemindahan 100% ekuiti Kerajaan dalam syarikat berkenaan, manakala pemindahan sebahagian bermakna kurang daripada 100%.Contoh bagi kaedah ini ialah Mardec Bhd., Naval Dockyard Sdn. Bhd. dan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) Bhd.
 
  • Penjualan Aset
   
Melibatkan pemindahan aset yang dimiliki oleh agensi atau syarikat kerajaan kepada pihak swasta untuk membolehkan syarikat berkenaan mengambil alih dan meneruskan aktiviti komersil entiti yang telah diswastakan. Ia boleh melibatkan pemindahan sama ada ketiga-tiga komponen organisasi tersebut (tanggungjawab pengurusan, aset dan kakitangan) atau sebahagian daripada komponennya. Penjualan aset boleh melibatkan aset yang dimiliki oleh apa jua organisasi Kerajaan sama ada syarikat atau lain-lain entiti. Contoh bagi kaedah ini ialah pengambilalihan aktiviti komersil Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (JENGKA) dan MARA Shipyard Engineering, Terengganu serta pengambilalihan perkhidmatan bas Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
 
  • Pengkorporatan
   
Kaedah ini digunakan bagi menukar taraf agensi Kerajaan menjadi sebuah syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 dengan ekuiti syarikat dipegang sepenuhnya Kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan. Contohnya SIRIM Berhad, MIMOS Berhad dan Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (IJNSB).
 
  • Pembangunan Tanah/Pertukaran Tanah
   
Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina kemudahan untuk Kerajaan seperti pejabat dan kuarters dan sebagai balasan Kerajaan akan memindah milik tanahnya kepada syarikat. Kaedah ini juga melibatkan pembangunan tanah secara usahasama yang mana tanah tidak dipindah milik kepada syarikat tetapi hartanah yang siap dibangunkan akan dijual terus kepada orang awam. Pulangan kepada Kerajaan adalah dalam bentuk in-kind dan bayaran tunai. Contoh projek di bawah kaedah ini ialah Pembangunan Semula Tapak Sekolah Bukit Bintang Kuala Lumpur, Pembangunan Tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mukim Batu, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan Pembinaan Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bukit Gedung Pulau Pinang.
 
  • Bina-Kendali-Pindah
   
Kaedah ini digunakan bagi penswastaan projek yang secara tradisinya dilaksanakan oleh sektor awam seperti projek infrastruktur dan kemudahan awam.Melibatkan pembinaan sesuatu kemudahan awam oleh pihak swasta dengan pembiayaan sendiri. Syarikat akan mengendalikan kemudahan tersebut bagi satu tempoh konsesi tertentu dan ianya akan diserah balik kepada Kerajaan tanpa kos di akhir tempoh konsesi berkenaan. Pihak syarikat akan dibenar mengutip caj atau fi daripada pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan tersebut secara tidak langsung daripada pihak perantaraan, biasanya institusi Kerajaan. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah lebuhraya bertol, perkhidmatan rel ringan dan pembetungan.
 
  • Bina-Kendali-Milik
   
Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membiayai pembinaan dan mengendalikan kemudahan tanpa menyerahkan aset tersebut kepada Kerajaan.Dalam tempoh konsesi, syarikat dibenar mengenakan caj kepada pengguna kemudahan atau perkhidmatan berkenaan.Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP) dan Bekalan Air Dingin Putrajaya.
 
  • Kontrak Pengurusan
   
Kaedah ini melibatkan penggunaan kepakaran pengurusan sektor swasta untuk mengurus sesuatu aktiviti atau melaksanakan perkhidmatan yang sebelum itu dijalankan sendiri oleh kerajaan secara kontrak jangka pendek.Kaedah ini melibatkan pembayaran oleh Kerajaan bagi perkhidmatan tersebut untuk suatu tempoh konsesi dan melibatkan pemindahan kakitangan, tanggungjawab pengurusan dan aset mudah alih kepada syarikat swasta yang berkenaan.Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan perkhidmatan sokongan hospital bagi hospital Kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
 
  • Pajakan
   
Kaedah ini melibatkan pemindahan hak menggunakan aset dan kemudahan untuk tempoh tertentu dengan bayaran sewa pajakan.Kaedah ini biasanya digunakan bagi penswastaan entiti yang mempunyai aset bernilai tinggi dan bersifat strategic seperti pelabuhan dan lapangan terbang.Kaedah ini tidak melibatkan pindah milik aset kepada syarikat konsesi tetapi peraturan-peraturan boleh dibuat bagi pemajak membeli aset berkenaan di akhir tempoh pajakan. Tempoh pajakan adalah sama dengan tempoh konsesi. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah Pelabuhan Kuantan dan pajakan terminal kontena di Pelabuhan Klang.
 
  • Bina-Pajak-Pindah
   
Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina kemudahan dengan pembiayaan sendiri. Apabila siap, kemudahan berkenaan akan digunakan oleh Kerajaan. Sebagai balasan, syarikat akan mengenakan sewaan kepada Kerajaan untuk suatu tempoh yang panjang contohnya selama 25 tahun. Selepas tempoh tersebut, kemudahan berkenaan akan diserahkan kepada Kerajaan. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah pembangunan kompleks bangunan Kerajaan di Putrajaya dan pembinaan 10,000 unit rumah guru Fasa 1 di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sarawak dan Sabah.
 
  • Bina-Pajak-Senggara-Pindah
   
Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina dan menyenggara kemudahanKerajaan dengan pembiayaan sendiri sepanjang tempoh konsesi.Kerajaan akan hanya membuat bayaran sekiranya sesuatu perkhidmatan yang disampaikan itu menepati tahap perkhidmatan yang telah dipersetujui (pre-agreed service level) atau Petunjuk Prestasi Utama ( Key Performance Indicator- KPI) yang telah ditetapkan. Kemudahan tersebut akan menjadi milik Kerajaan setelah tamat tempoh konsesi. Contohnya projek pembinaan kampus-kampus UiTM di kawasan terpilih.
 
  • Penyenaraian
   
Kaedah ini melibatkan penjualan saham syarikat milik Kerajaan kepada pihak awam atau swasta (sama ada sepenuhnya atau sebahagian) melalui penyenaraian di Bursa Malaysia. Contoh penswastaan yang menggunakan kaedah ini ialah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd., UDA Holdings Bhd. (UHB), Syarikat Padi dan Beras Nasional Bhd. (BERNAS) dan Malaysia Airport Holdings Bhd.
 
  • Dana Mudahcara
   
RM20b Dana Mudahcara ini dijangka menarik pelaburan swasta yang bernilai tidak kurang daripada RM150 bilion dalam tempoh RMKe-10.Dana ini bermatlamat untuk merapatkan jurang daya maju projek yang strategik dan yang memberikan limpahan ekonomi yang besar.Peruntukan Dana Mudahcara diberikan sebanyak 10% daripada kos projek atau maksimum RM200 juta.
   
5. Apakah kaedah-kaedah Kerjasama Awam Swasta yang kebiasaanya digunakan?
 

img

   
6. Adakah cadangan projek PPP ini hanya daripada pihak syarikat?
 

Tidak. Kertas cadangan projek boleh dikemukakan melalui dua cara:

  • Inisiatif Kerajaan (Solicited Proposal)- Kertas cadangan ini dikemukakan oleh kementerian/agensi berkaitan berdasarkan need statement projek; dan
  • Inisiatif Swasta (Unsolicited Proposal)- Kertas cadangan ini dikemukakan oleh pihak swasta.
   
7. Apakah komponen yang perlu ada untuk menghantar cadangan projek kepada UKAS, JPM?
  Cadangan projek perlu mengandungi sekurang-kurangnya perkara berikut:
  • Latar belakang, objektif dan pernyataan keperluan (need statement) daripada kementerian/agensi;
  • Justifikasi pelaksanaan projek melalui kaedah PPP;
  • Skop projek dan anggaran kos;
  • Tempoh konsesi;
  • Cadangan tapak projek; dan
  • Kaedah pembiayaan.
8.
Bagaimanakah proses penilaian bagi setiap cadangan projek PPP ini dilaksanakan?
 
Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) ditubuhkan untuk meneliti cadangan projek PPP yang dikemukakan kepada UKAS, JPM.JKAS terdiri daripada UKAS, JPM (Pengerusi), Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan agensi pelaksana. Tugas-tugas JKAS adalah seperti berikut:
  • Berperanan sebagai jawatankuasa utama projek-projek kerjasama awam swasta;
  • Membincangkan cadangan projek daripada Jawatankuasa Pemandu;
  • Membuat keputusan mengenai cadangan projek untuk pertimbangan Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta sebelum kelulusan Jemaah Menteri; dan
  • Memuktamadkan rundingan syarat & terma perjanjian konsesi dengan pembida yang berjaya.
   
9.
Apakah pendekatan yang digunapakai dalam pelaksanaan projek PPP?
 
Pendekatan yang diguna pakai adalah secara perancangan berpusat dan pelaksanaannya dipertanggungjawabkan kepada kementerian/agensi berkaitan.UKAS, JPM mengambil peranan aktif bagi menyelaras, memproses dan merunding suatu cadangan projek PPP sehingga peringkat perjanjian ditandatangani.Selepas peringkat tersebut, pengurusan kontrak serta pemantauan pelaksanaan projek akan diserahkan kepada kementerian/agensi yang diamanahkan oleh Jemaah Menteri.
   
10.
Siapakah yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek PPP?
 
Bagi memperkukuhkan aspek pemantauan projek PPP yang berskala besar, UKAS, JPM telah menubuhkan unit pemantauan yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan kerja-kerja pembinaan projek melalui laporan berkala daripada agensi yang terlibat. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya tugas-tugas pemantauan dan penilaian terhadap projek PPP dilaksanakan oleh agensi bertanggungjawab.
   
11. Apakah peranan UKAS, JPM dalam mempromosi PPP?
 
  • Sebagai Penasihat Teknikal & Dasar Kerajaan;
  • Memperluaskan pemahaman mengenai konsep dan pelbagai opsyen PPP;
  • Menyediakan persekitaran yang kondusif;
  • Memastikan pematuhan amalan dan struktur tadbir urus yang baik;
  • Meningkatkan keupayaan bagi pegawai dalam menguruskan projek PPP; dan
  • Memberikan khidmat nasihat dan bantuan kewangan (contoh dlm bentuk Dana Mudahcara).
   
12. Apakah kesilapan umum yang sering dilakukan oleh pemohon?
 
  • Dokumen tidak lengkap;
  • Tidak menepati kriteria dalam dokumen tender;
  • Terma dan kaedah pembayaran yang berbeza daripada apa yang telah disediakan/yang diminta;
  • Harga yang tidak realistik seperti terlalu tinggi/terlalu rendah; dan
  • Menumpukan perhatian kepada faktor harga pada masa yang sama mengabaikan keperluan lain seperti elemen value for money dan inovasi.
   
13. Apakah sektor utama yang diberi perhatian?
 
  • Kesihatan;
  • Pendidikan;
  • Infrastruktur; dan
  • Teknologi Hijau.
   
 

PERMOHONAN DANA MUDAHCARA

   
14. Adakah Dana Mudahcara ini merupakan satu bentuk pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan dan perlu dibayar balik?
 
 
Dana Mudahcara adalah dana yang disediakan oleh Kerajaan sebagai insentif ke atas pelaburan yang telah dibuat oleh sektor swasta melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan. Tertakluk kepada dasar dan keputusan Kerajaan dari semasa ke semasa, secara umumnya bantuan Dana Mudahcara ini diberi dalam bentuk geran tanpa perlu dibayar balik.
   
15. Apakah yang dimaksudkan dengan payback period dalam Garis Panduan Dana Mudahcara?
 
Payback Period yang dimaksudkan dalam Garis Panduan Dana Mudahcara adalah tempoh pembayaran balik pinjaman kewangan dari institusi kewangan lain oleh Syarikat berhubung projek tersebut.
   
16. Apakah maksud elemen touch point dalam Garis Panduan Dana Mudahcara?
  Elemen touch point adalah elemen berkaitan projek yang pada pandangan Kerajaan dapat memberi manfaat secara langsung kepada awam. Contohnya: kemudahan awam, jalan, jambatan dan lain-lain manfaat yang difikirkan sesuai oleh Kerajaan.
   
17. Apakah yang dimaksudkan dengan Perjanjian Dana Mudahcara?
 
Sekiranya sesebuah Syarikat diluluskan bantuan Dana Mudahcara oleh Kerajaan, satu Perjanjian dikenali Perjanjian Dana Mudahcara perlu ditandatangani di antara Kerajaan, Bank dan Syarikat. Secara umumnya Perjanjian tersebut akan menyatakan antara lainnya jumlah, kaedah Dana Mudahcara disalurkan dan tanggungjawab ketiga-tiga pihak dalam perjanjian.
18. Bagaimanakah sekiranya pelaksanaan projek dibuat secara berperingkat mengikut fasa pembangunan? Adakah Kerajaan masih boleh mempertimbangkan permohonan tersebut?
   
 
Secara amnya, penyaluran dana dibuat secara lump-sum reimbursement setelah pelaksanaan pembangunan projek yang telah diluluskan bantuan Dana Mudahcara siap sepenuhnya.
   
19. Apakah syarat-syarat dan kriteria-kriteria untuk setiap permohonan Dana Mudahcara?
 

Kriteria dan syarat kelayakan seperti berikut:

  1. Syarikat hendaklah diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya sebanyak RM300,000.00 semasa perjanjian ditandatangani;
  2. mempunyai hak milik ke atas tanah yang akan dibangunkan atau hak untuk melaksanakan projek atas tanah yang dicadangkan (seperti joint venture agreement , Power of Attorney , pajakan);
  3. telah memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kelulusan mandatori dari lain-lain agensi berkaitan bagi memulakan pelaksanaan projek;
  4. mempunyai kapasiti, keupayaan, kemahiran/kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan projek yang dicadangkan; dan
  5. mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta berkeupayaan untuk mendapatkan pembiayaan komersil bagi pelaksanaan projek.
20.
Apakah yang dimaksudkan dengan komponen Dana Mudahcara tersebut?
   
  Komponen Dana Mudahcara yang dimaksudkan adalah perincian kos kepada kerja-kerja infrastruktur yang mempunyai public touch point di inside boundary dan outside boundary yang akan dilaksanakan oleh Syarikat. Contohnya adalah komponen road works, general infrastructure, utilities and public touch point elements .
   
21. Apakah sektor-sektor yang boleh memohon bantuan Dana Mudahcara?
   
 

Antara sektor utama yang menerima bantuan Dana Mudahcara ialah:

  1. Pelancongan ;
  2. Pembangunan bercampur
  3. Minyak, gas dan tenaga
  4. Pembuatan
  5. Pengangkutan
  6. Peruncitan
  7. Kesihatan
  8. Pendidikan
  9. PRIMA dan PPA1M
22. Berapakah had maksimum bantuan dana yang boleh dipohon oleh Syarikat?
   
  Had maksimum permohonan Dana Mudahcara yang boleh dipertimbangkan adalah tidak melebihi 10% atau RM200 juta (yang mana lebih rendah) dari kos pembangunan projek.

Kemaskini Terakhir

Jumlah Pelawat

6301966
YesterdayYesterday7186
All_DaysAll_Days6301966

Sesuai dipapar menggunakan IE versi 11.0 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 & ke atas, Safari 10.0 & ke atas atau Google Chrome 13.0 dan ke atas dengan resolusi minimal 1280 x 768