soalan lazim hubungi kami sistem maklumbalas peta laman
logo Ukas

Apakah kaedah-kaedah yang terdapat dalam melaksanakan projek kerjasama awam swasta (PPP)?

0
  • Penjualan Ekuiti
    Penjualan ekuiti adalah khusus bagi syarikat Kerajaan dan melibatkan pemindahan hakmilik serta tanggungjawab pengurusan, aset (beserta atau tanpa tanggungan) dan kakitangan.Bentuk penswastaan ini boleh melibatkan penjualan sebahagian atau keseluruhan ekuiti sesuatu syarikat.Penjualan ekuiti keseluruhan bermakna pemindahan 100% ekuiti Kerajaan dalam syarikat berkenaan, manakala pemindahan sebahagian bermakna kurang daripada 100%.Contoh bagi kaedah ini ialah Mardec Bhd., Naval Dockyard Sdn. Bhd. dan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) Bhd.

  • Penjualan Aset
    Melibatkan pemindahan aset yang dimiliki oleh agensi atau syarikat kerajaan kepada pihak swasta untuk membolehkan syarikat berkenaan mengambil alih dan meneruskan aktiviti komersil entiti yang telah diswastakan. Ia boleh melibatkan pemindahan sama ada ketiga-tiga komponen organisasi tersebut (tanggungjawab pengurusan, aset dan kakitangan) atau sebahagian daripada komponennya. Penjualan aset boleh melibatkan aset yang dimiliki oleh apa jua organisasi Kerajaan sama ada syarikat atau lain-lain entiti. Contoh bagi kaedah ini ialah pengambilalihan aktiviti komersil Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (JENGKA) dan MARA Shipyard Engineering, Terengganu serta pengambilalihan perkhidmatan bas Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

  • Pengkorporatan
    Kaedah ini digunakan bagi menukar taraf agensi Kerajaan menjadi sebuah syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 dengan ekuiti syarikat dipegang sepenuhnya Kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan. Contohnya SIRIM Berhad, MIMOS Berhad dan Institut Jantung Negara Sdn. Bhd. (IJNSB).

  • Pembangunan Tanah/Pertukaran Tanah
    Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina kemudahan untuk Kerajaan seperti pejabat dan kuarters dan sebagai balasan Kerajaan akan memindah milik tanahnya kepada syarikat. Kaedah ini juga melibatkan pembangunan tanah secara usahasama yang mana tanah tidak dipindah milik kepada syarikat tetapi hartanah yang siap dibangunkan akan dijual terus kepada orang awam. Pulangan kepada Kerajaan adalah dalam bentuk in-kind dan bayaran tunai. Contoh projek di bawah kaedah ini ialah Pembangunan Semula Tapak Sekolah Bukit Bintang Kuala Lumpur, Pembangunan Tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mukim Batu, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dan Pembinaan Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bukit Gedung Pulau Pinang.

  • Bina-Kendali-Pindah
    Kaedah ini digunakan bagi penswastaan projek yang secara tradisinya dilaksanakan oleh sektor awam seperti projek infrastruktur dan kemudahan awam.Melibatkan pembinaan sesuatu kemudahan awam oleh pihak swasta dengan pembiayaan sendiri. Syarikat akan mengendalikan kemudahan tersebut bagi satu tempoh konsesi tertentu dan ianya akan diserah balik kepada Kerajaan tanpa kos di akhir tempoh konsesi berkenaan. Pihak syarikat akan dibenar mengutip caj atau fi daripada pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan tersebut secara tidak langsung daripada pihak perantaraan, biasanya institusi Kerajaan. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah lebuhraya bertol, perkhidmatan rel ringan dan pembetungan.

  • Bina-Kendali-Milik
    Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membiayai pembinaan dan mengendalikan kemudahan tanpa menyerahkan aset tersebut kepada Kerajaan.Dalam tempoh konsesi, syarikat dibenar mengenakan caj kepada pengguna kemudahan atau perkhidmatan berkenaan.Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah Penjanakuasa Elektrik Persendirian (IPP) dan Bekalan Air Dingin Putrajaya.

  • Kontrak Pengurusan
    Kaedah ini melibatkan penggunaan kepakaran pengurusan sektor swasta untuk mengurus sesuatu aktiviti atau melaksanakan perkhidmatan yang sebelum itu dijalankan sendiri oleh kerajaan secara kontrak jangka pendek.Kaedah ini melibatkan pembayaran oleh Kerajaan bagi perkhidmatan tersebut untuk suatu tempoh konsesi dan melibatkan pemindahan kakitangan, tanggungjawab pengurusan dan aset mudah alih kepada syarikat swasta yang berkenaan.Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan perkhidmatan sokongan hospital bagi hospital Kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Pajakan
    Kaedah ini melibatkan pemindahan hak menggunakan aset dan kemudahan untuk tempoh tertentu dengan bayaran sewa pajakan.Kaedah ini biasanya digunakan bagi penswastaan entiti yang mempunyai aset bernilai tinggi dan bersifat strategic seperti pelabuhan dan lapangan terbang.Kaedah ini tidak melibatkan pindah milik aset kepada syarikat konsesi tetapi peraturan-peraturan boleh dibuat bagi pemajak membeli aset berkenaan di akhir tempoh pajakan. Tempoh pajakan adalah sama dengan tempoh konsesi. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah Pelabuhan Kuantan dan pajakan terminal kontena di Pelabuhan Klang.

  • Bina-Pajak-Pindah
    Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina kemudahan dengan pembiayaan sendiri. Apabila siap, kemudahan berkenaan akan digunakan oleh Kerajaan. Sebagai balasan, syarikat akan mengenakan sewaan kepada Kerajaan untuk suatu tempoh yang panjang contohnya selama 25 tahun. Selepas tempoh tersebut, kemudahan berkenaan akan diserahkan kepada Kerajaan. Contoh projek yang menggunakan kaedah ini ialah pembangunan kompleks bangunan Kerajaan di Putrajaya dan pembinaan 10,000 unit rumah guru Fasa 1 di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sarawak dan Sabah.

  • Bina-Pajak-Senggara-Pindah
    Kaedah ini melibatkan syarikat swasta membina dan menyenggara kemudahanKerajaan dengan pembiayaan sendiri sepanjang tempoh konsesi.Kerajaan akan hanya membuat bayaran sekiranya sesuatu perkhidmatan yang disampaikan itu menepati tahap perkhidmatan yang telah dipersetujui (pre-agreed service level) atau Petunjuk Prestasi Utama ( Key Performance Indicator- KPI) yang telah ditetapkan. Kemudahan tersebut akan menjadi milik Kerajaan setelah tamat tempoh konsesi. Contohnya projek pembinaan kampus-kampus UiTM di kawasan terpilih.

  • Penyenaraian
    Kaedah ini melibatkan penjualan saham syarikat milik Kerajaan kepada pihak awam atau swasta (sama ada sepenuhnya atau sebahagian) melalui penyenaraian di Bursa Malaysia. Contoh penswastaan yang menggunakan kaedah ini ialah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd., UDA Holdings Bhd. (UHB), Syarikat Padi dan Beras Nasional Bhd. (BERNAS) dan Malaysia Airport Holdings Bhd.

  • Dana Mudahcara
    RM20b Dana Mudahcara ini dijangka menarik pelaburan swasta yang bernilai tidak kurang daripada RM150 bilion dalam tempoh RMKe-10.Dana ini bermatlamat untuk merapatkan jurang daya maju projek yang strategik dan yang memberikan limpahan ekonomi yang besar.Peruntukan Dana Mudahcara diberikan sebanyak 10% daripada kos projek atau maksimum RM200 juta.
Posted 5 years agoby Super User
#4

Kemaskini Terakhir

Jumlah Pelawat

6369192
YesterdayYesterday8605
All_DaysAll_Days6369192

Sesuai dipapar menggunakan IE versi 11.0 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 & ke atas, Safari 10.0 & ke atas atau Google Chrome 13.0 dan ke atas dengan resolusi minimal 1280 x 768