Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Ketua Pengarah - Jun 2011
TEKS UCAPAN YBHG. DATO' SRI DR. ALI HAMSA SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN JUN 2011 UNIT KERJASAMA AWAM SWASTA (UKAS) JABATAN PERDANA MENTERI DEWAN SERBAGUNA MENARA USAHAWAN 2 JUN 2011 Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berbahagia Dato' Ahmad Husni Hussain, Timbalan Ketua Pengarah Dasar Yang Berbahagia Dato' Zohari Hj. Akob, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Seksyen Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh Selamat Sejahtera, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia! MUKADIMAH 1. Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah dan kurnianya pada pagi ini, kita dapat bersama-sama berhimpun dan menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan UKAS bagi bulan Jun tahun 2011. Untuk itu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Seksyen Khidmat Korporat & ICT yang mengaturkan perhimpunan pada kali ini. 2. Saya juga bagi pihak keseluruhan warga UKAS ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dato' Ahmad Husni Hussein yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato' sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang pada 19 Mei 2011 yang lalu. Pengurniaan ini merupakan pengiktirafan khususnya kepada Dato' Husni di atas segala sumbangan beliau dan UKAS amnya. Saudara dan saudari para hadirin sekalian, 3. Pada pagi ini, amanat saya akan saya tumpukan kepada salah satu aspek yang pada pandangan saya amat penting dalam pelaksanaan peranan dan fungsi UKAS iaitu INTEGRITI.
USAHA-USAHA KERAJAAN DALAM MEMBUDAYAKAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM 4. Kita semua maklum, Kerajaan sebenarnya telah memperkenal dan melancarkan pelbagai program bagi memantap dan mempertingkatkan nilai-nilai murni dan integriti perkhidmatan awam. Ini adalah antara rangkaian usaha-usaha untuk membina identiti bangsa, jati diri bangsa dengan nilai budaya dan kehidupan yang bermaruah tinggi. Bak kata pepatah "tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa ialah budi, runtuh budi runtuhlah bangsa". 5. Antara usaha yang telah dilaksanakan sejak tahun 1980an lagi adalah dengan memperkenalkan penghayatan konsep "Bersih, Cekap dan Amanah", "Piagam Pelanggan", "Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran", "Surat Aku Janji" dan sebagainya. Ini diperkukuhkan lagi dengan pendekatan "Islam Hadhari" dan pelaksanaan "Pelan Integriti Nasional". 6. Usaha-usaha ini terus diberikan penekanan oleh Kerajaan dalam Wawasan 2020 dalam cabaran ke-4 iaitu "membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur". Saudara dan saudari para hadirin sekalian, INTEGRITI DAN UKAS 7. Dalam Bengkel yang telah kita adakan di Cameron Highland pada 6 – 8 Mei 2011 yang lalu, kita telah menyemak semula Visi dan Misi UKAS. Kita semua telah bersetuju dengan Visi UKAS iaitu: UNTUK MENJADI ORGANISASI PENERAJU KERJASAMA AWAM SWASTA TERUNGGUL DI PERINGKAT GLOBAL MENJELANG 2016. Manakala misi UKAS pula adalah: MEMACU TRANSFOMASI EKONOMI MELALUI KERJASAMA STRATEGIK AWAM-SWASTA SECARA BERINTEGRITI DAN INOVATIF BERTERASKAN PRINSIP "VALUE FOR MONEY" DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT. 9. Berdasarkan Visi dan Misi UKAS ini, INTEGRITI merupakan aspek yang sangat penting. Untuk menjadi agensi terunggul, kita tidak boleh mengabaikan aspek INTEGRITI. INTEGRITI secara umumnya adalah berkaitan dengan harga dan maruah diri serta penghormatan. Ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi diperolehi melalui penghayatan nilai-nilai murni dan etika kerja yang cemerlang. Aspek integriti sangat penting dan perlu dijaga pada setiap masa sebagai seorang individu dan juga sebagai seorang pegawai awam. 10. Integriti bukan sahaja menyentuh perkara-perkara mengenai rasuah tetapi melibatkan juga sikap acuh tak acuh, melewat-lewatkan tugas, menyembunyikan perkara-perkara penting, tidak jujur dan sebagainya. Seseorang yang berintegriti dengan sendirinya memiliki sifat-sifat amanah, bersih, cekap, berkesan, bersikap positif dan nilai-nilai murni yang lain. 11. Bagi kita semua sebagai penjawat awam, pegawai yang berintegriti bermaksud pegawai yang melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk kepentingan umum. Kita tidak boleh menyalahgunakan kuasa kita untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. 12. Bagaimanakah hendak menjadi pegawai awam yang berintegriti? Halangan-halangan seperti tiadanya kesedaran kendiri, gila kuasa, tamak haloba, tidak beriman dan tidak ada sifat malu untuk melakukan penyelewengan hendaklah dikikis dari diri kita. Kita perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan tidak menyeleweng dari peraturan. Bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dengan betul, jangan mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian, tetapi patut tingkatkan usaha untuk terus membuat penambahbaikan dan menambah nilai kepada hasil kerja kita.
13. Penekanan juga perlu diberikan dalam aspek masa dan kehadiran bertugas. Kita perlu mematuhi masa kedatangan dengan tidak lewat tiba di pejabat baik pada waktu datang ataupun balik awal sebelum waktunya. Saya tidak mahu melihat ada di antara kita yang datang lewat atau pulang awal berkali-kali dalam satu bulan tanpa sebab yang munasabah. Saya tahu di UKAS sebilangan besar daripada kita bekerja bertungkus lumus pada setiap hari dan ada yang pulang sehingga lewat malam demi merealisasikan visi dan misi UKAS. Namun, peraturan perlu juga kita dipatuhi dan kita seharusnya mengamalkan disiplin diri yang tinggi supaya kita dihormati dan disegani. 14. Saya juga difahamkan bilangan pegawai yang datang lewat dan dikenakan tindakan berdasarkan laporan rekod kedatangan turut menjadi penyumbang terhadap markah dalam Sistem Pengurusan Audit Nilai (SPAN) yang telah dilaksanakan di UKAS pada tahun 2010 selaras dengan Arahan No. 1 YAB Perdana Menteri –Pelaksanaan Pengurusan Audit Nilai Dalam Perkhidmatan Awam di Agensi Kerajaan. 15. Indeks Nilai Keseluruhan (Komposit) di UKAS adalah 74.73 markah dan berdasarkan Arahan tersebut, markah ini telah meletakkan UKAS pada tahap perlu penambahbaikan dengan pemantauan. Oleh itu kita perlu mensasarkan markah yang lebih tinggi iaitu melebihi 90% markah yang mana akan meletakkan UKAS di tahap cemerlang dan perlu dikekalkan. USAHA PEMBUDAYAAN INTEGRITI DI UKAS 16. Untuk itu, usaha-usaha pembudayaan integriti perlu dilipatgandakan. Di UKAS, kita telah mewujudkan Unit Audit Pematuhan dan Pengurusan Integriti dengan fungsi utamanya adalah untuk membudayakan integriti dalam kalangan warga UKAS. Unit ini yang diterajui oleh 2 orang pegawai daripada SPRM, telah menyusun strategi dan program ke arah menyemarakkan pembudayaan akhlak, etika dan integriti dalam kalangan warga UKAS di dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan kepada stakeholder dan pelanggan. 17. Saya berharap usaha-usaha yang berterusan ini akan dapat membentuk keperibadian dan jatidiri yang unggul dalam kalangan warga UKAS serta memupuk sikap bertanggungjawab bagi memberi perkhidmatan yang terbaik. 18. Selain daripada individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi. Saya berharap Unit Audit, Pematuhan dan Pengurusan Integriti juga akan melaksanakan usaha-usaha bagi memastikan UKAS menjadi sebuah organisasi yang berintegriti. PENUTUP Saudara saudari sekalian, 19. Dalam merealisasikan peranan dan fungsi kita, kita akan berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan iaitu rakyat, syarikat-syarikat pembekal dan vendor yang datang berurusan. Oleh itu, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab kita dengan bersungguh-sungguh, cekap, berdedikasi dan berkesan. Kita hendaklah bersandarkan kepada nilai-nilai murni dan prinsip yang menjadi keutamaan seperti Kepimpinan Melalui Teladan, Bersih, Cekap dan Amanah. 20. Kerajaan juga mahukan setiap dari kita dapat memperkukuhkan jati diri dengan cara menyemaikan sifat-sifat murni seorang insan. Ini adalah kerana teras keunggulan sesuatu organisasi adalah berasaskan setakat mana warga sesebuah organisasi berkenaan mengamalkan nilai-nilai murni dan mempunyai etika kerja yang tinggi. Gejala-gejala yang tidak sihat seperti amalan rasuah, kurang iltizam, sikap mementingkan diri sendiri, 'double standard', malas, tidak menepati masa dan lain-lain sikap yang negatif adalah antara amalan yang boleh menjejaskan keberkesanan perjalanan organisasi kita. 21. Akhir kata adalah menjadi harapan saya supaya saudara dan saudari sekalian akan terus menerus menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa. Sekian saya sudahi dengan wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.