PERUTUSAN KETUA PENGARAH PERUTUSAN KETUA PENGARAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat datang ke Portal rasmi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Usaha pembangunan di Malaysia adalah sentiasa berasaskan kepada strategi menyokong perniagaan di mana sektor swasta memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi manakala sektor awam pula berperanan memastikan kestabilan makro-ekonomik yang menyeluruh dan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan domestik dan asing.

Penglibatan Kerajaan dengan sektor swasta telah bermula sejak tahun 1980-an dengan pelancaran Dasar Penswastaan pada tahun 1983, yang mensasarkan kerjasama erat di antara sektor awam dan swasta bagi membolehkan kedua-dua sektor beroperasi sebagai sebuah syarikat Malaysia Incorporated.  Program penswastaan telah menyebabkan sektor swasta membuat pelaburan yang besar terutamanya dalam bidang pengangkutan, telekomunikasi dan tenaga.  Memandangkan pembangunan infrastruktur merupakan komponen utama untuk menggalakkan aktiviti ekonomi yang berpotensi dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur sebagai sebahagian daripada transformasi ekonomi negara.

Justeru, Unit Kerjasama Awam Swasta telah ditubuhkan pada April 2009, di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk terus menerajui agenda pembangunan nasional dalam menggalakkan penglibatan dan pelaburan sektor swasta melalui kerjasama awam swasta.  Unit ini merupakan sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab untuk merancang, menilai, menyelaras, merunding dan memantau pelaksanaan projek-projek kerjasama awam swasta.  Unit ini turut mengurus dan menilai projek-projek yang memerlukan pembiayaan daripada Dana Mudahcara, sebuah Dana yang diwujudkan khusus untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta dan merapatkan jurang daya maju projek yang mempunyai impak strategik.

Bagi menggalakkan lagi transformasi ekonomi melalui kerjasama awam swasta yang strategik, Unit ini juga merupakan penyelaras bagi Projek-projek Pembangunan Koridor di lima (5) wilayah iaitu: Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Laman web ini mengandungi pelbagai maklumat berkaitan Unit Kerjasama Awam Swasta, pelaksanaan projek-projek kerjasama awam swasta, Dana Mudahcara dan Pembangunan Koridor.  Ia juga turut memaparkan maklumat mengenai inisiatif dan aktiviti terkini Unit ini.

Saya amat berharap agar Portal ini dapat memberi manfaat kepada anda.  Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang pandangan dan maklum balas untuk meningkatkan semangat kerjasama dan seterusnya menjadikan Unit ini sebuah organisasi yang lebih efektif dan efisyen.

 

Terima kasih.

Dato' Ahmad Husni Hussain
Ketua Pengarah
Unit Kerjasama Awam Swasta
(UKAS)
Jabatan Perdana Menteri